Salam sejahtera kepada semua pembaca yang dihormati sekalian. Pada hari ini saya ingin membincangkan tentang keluaran software Android yang tidak lama lagi akan diperkenalkan kepada semua pengguna Android. Sudah pasti inilah yang dinanti-nantikan oleh semua pengguna Android, sesuatu yang mengubah sesuatu sistem telefon pintar anda jauh ke hadapan untuk memudahkan segala urusan yang menggunakan telefon pintar.

 

Sepertimana yang anda tahu, Android telahpun memperkenalkan versi Android yang kesembilan iaitu Pie dan ini merupakan sebuah sistem yang sangat mengagumkan bagi semua pengguna Android. Setiap sistem software yang diumumkan sudah menjadi tumpuan ramai dan banyak yang berkongsikan tentang kelebihan yang akan ada pada sistem Android yang tidak lama lagi akan dilepaskan kepada pihak umum.

 

Penantian yang sangat mendebarkan setiap pengguna Android kerana terdapat pelbagai jenis ciri baru yang akan diperkenalkan pada sistem Android yang kesepuluh ini dengan tujuan untuk memudahkan segala urusan pengguna Android.

 

Mari kita lihat beberapa ciri yang akan diperkenalkan pada sistem operasi Android yang kesepuluh iaitu Q. Pertama sekali, Q akan memperkenalkan “Live Caption”, dimana dengan ciri ini anda akan bebas mendapat sari kata pada apa jua media yang anda tonton, seperti video di Youtube, mesej audio daripada rakan anda dan juga rakaman radio (podcasts) yang anda muatturun daripada internet.

 

Kebebasan untuk mendapatkan sari kata tidaklah terhad di situ sahaja, anda juga akan mendapat sari kata pada video yang dirakaman oleh anda sendiri atau video yang dihantar oleh kenalan anda! Tetapi apakah motif ciri ini diperkenalkan? Ciri “Live Caption” ini bertujuan untuk membantu mereka yang kurang pendengaran atau pekak, yang sangatlah diperlukan oleh mereka untuk memahami apa yang dibicarakan dalam sesebuah media yang disiarkan melalui video.

 

Apa yang menarik tentang ciri “Live Caption” ini adalah anda tidak perlu untuk membuat penyambungan kepada internet untuk mendapatkan sari kata ini untuk video yang anda mainkan. Ini kerana sistem operasi Q ini telahpun diprogramkan untuk menghasilkan sari kata yang tersendiri dan bukanlah bergantung kepada sumber daripada internet. Kepada anda yang tertanya-tanya sekiranya dengan ciri ini akan memakan storage telefon anda, ciri ini hanyalah menggunakan ruang penyimpanan serendah 80MB sahaja!

 

Seterusnya, Q akan memperkenalkan ciri “Dark Mode” yang diklarifikasikan sebagai “Dark Theme” oleh Google. Ciri ini bukan sahaja menampakkan telefon anda lebih menarik malah ianya dapat menjimatkan penggunaan bateri. Kebanyakan Android mempunyai paparan skrin OLED dimana penggunaan pixel untuk setiap warna yang digunakan untuk menghasilkan sesebuah imej itu. Dengan adanya ciri Dark Mode ini, imej yang mempunyai warna hitam, pixel yang berkenaan tidak akan menyala, oleh itu penggunaan pixel yang terbabit untuk mengeluarkan warna yang lain sahaja yang akan menyala dan ini dapat mengurangkan penggunaan bateri sama sekali.

 

Selain itu, Android Q juga akan memperkenalkan ciri servis lokasi yang lebih baik amatlah diperlukan oleh semua pengguna telefon pintar. Apa yang dimaksudkan oleh servis lokasi ini adalah dengan menggunakan aplikasi yang melibatkan GPS seperti Waze, Google Maps dan sebagainya. Sebelum ini anda hanya mempunyai pilihan “Yes” atau “No” untuk membenarkan sesebuah aplikasi itu untuk menggunakan lokasi yang anda sedang berada pada masa itu. Kini anda akan mempunyai tiga pilihan iaitu “Always”, “Never” dan “Only while using the app”.

 

Anda semestinya tidak mahukan sesebuah aplikasi itu untuk mendapatkan lokasi anda pada setiap masa walaupun anda tidak menggunakan aplikasi tersebut, jadi pilihan yang ketiga itulah yang membantu untuk memudahkan penggunaan anda. Ciri lain yang diperkenalkan oleh Android Q ini adalah sokongan rangkaian 5G. Sudah pasti anda mendengar tentang teknologi 5G yang tersebar di seluruh dunia. Tetapi sesebuah telefon pintar itu hendaklah mempunyai komponen yang menyokong penggunaan 5G terlebih dahulu untuk anda dapat menggunakannya.

 

Akhir sekali, Android Q juga akan menyokong penuh pada peranti yang berupaya untuk dilipat dua. Ciri seperti “App Continuity” yang membolehkan penggunaan peranti seperti Samsung Galaxy Fold dapat dijayakan. Sebagai contoh untuk App Continuity ini adalah sekiranya anda membuka sebuah aplikasi pada Samsung Galaxy Fold dengan paparan semasa ianya dilipat, aplikasi ini dapat lagi beroperasi sekiranya anda membuka lipatan itu untuk paparan skrin yang lebih besar. Di sini saya ingin mengakhiri artikel saya pada hari ini, sekian terima kasih.

Pin It on Pinterest