Salam sejahtera kepada semua pembaca!
Pada hari ini saya ingin berkongsikan kepada anda tentang perancangan salah sebuah syarikat telekomunikasi yang terkenal iaitu Xiaomi yang bakal juga memperkenalkan konsep baru terhadap penggubahan kamera hadapan telefon keluaran mereka. Xiaomi dijangka untuk memperkenalkan sebuah konsep dimana kamera hadapan akan diletakkan dibawah permukaan paparan skrin.
Tujuan perkara ini diwujudkan adalah bagi meminimakan ruangan untuk takuk dan bingkai disediakan untuk kamera hadapan. Selain itu, ianya bebas daripada menggunakan konsep “pop-up” untuk kamera hadapan seperti yang digunakan pada beberapa buah telefon pintar iaitu OnePlus 7 Pro dan Asus Zenfone 6.
Tidak boleh dinafikan bahawa konsep kamera hadapan “pop-up” merupakan satu evolusi yang hebat yang diimplementasikan pada sesebuah telefon pintar itu. Ini memberikan pengguna sebuah paparan skrin yang lebih luas serta penggunaan skrin dengan menyeluruh.
Berdasarkan penyelidikan dan pembacaan saya tentang perkara ini, syarikat Xiaomi menjelaskan kepada umum tentang konsep teknologi ini, dimana sebuah gelas khas yang mempunyai sifat pantulan cahaya yang rendah dan transmisi yang tinggi. Berikut adalah mekanisma kamera hadapan yang akan diperkenalkan pada model baharu Xiaomi.
Paparan skrin telefon tersebut akan mempamerkan paparan yang penuh seperti biasa jika kamera hadapan tidak digunakan manakala jika kamera hadapan digunakan, ruangan belah atas pada bahagian kamera itu akan berubah menjadi lutsinar.
Bahagian lutsinar ini bertujuan untuk membolehkan cahaya menembusi paparan untuk memberikan pencahayaan yang lebih banyak bagi menghasilkan gambar yang mengagumkan. Xiaomi juga berpendapat bahawa dengan memperkenalkan konsep teknologi ini, ianya mampu menghasilkan gambar yang lebih cantik berbanding penggunaan teknologi “pinhole”.
Pada pendapat saya, ini merupakan sebuah perubahan teknologi yang mantap kerana dengan adanya konsep ini, sesebuah telefon itu tidak perlu menyediakan ruangan seperti takuk mahupun bingkai bagi kamera hadapan untuk dipasangkan.
Namun begitu, gambar yang lebih menakjubkan dihasilkan daripada teknologi ini tidak terbukti lagi kesahihannya, tapi ianya lebih unggul dari segi ketahanannya berbanding dengan konsep “pop-up”. Sepertimana yang anda tahu, peranti yang berpandukan motor ini mudah mengalami kerosakan jika tidak digunakan dengan baik. Setakat ini tidak ada sebarang berita angin daripada syarikat Xiaomi berkaitan dengan masa jangkaan telefon yang menggunakan konsep ini akan dikeluarkan.
Recent Comments